Oleh Mohd Rafi Mamat
Harian Metro
2010/02/11
KESUNTUKAN masa sebagai pegawai perubatan di sebuah klinik kerajaan di Shah Alam, Selangor bukan penghalang kepada Dr Nor Izah Dahman, 34, untuk menjayakan hobi mengumpul pokok orkid liar.

SEHATI...Dr Nor Izah bersama suami meluangkan waktu memeriksa orkid mereka.
Selepas lapan tahun terbabit dengan aktiviti itu, dia kini mampu berbangga dengan memiliki kira-kira 420 spesies orkid liar tempatan dan antarabangsa.
Selain memiliki 420 spesies orkid liar, Dr Nor Izah turut mempunyai lebih 2,000 orkid kacukan yang kini ditempatkan di Felda Bukit Puchong, Bera, Pahang.

MENARIK...antara orkid liar yang mampu mencuri minat penggemarnya.
Sokongan padu suaminya, Mohd Haikhairi Nordin, 34, yang turut meminati tanaman orkid melancarkan lagi semua usaha dan perancangan.
"Saya lebih memberi tumpuan kepada orkid liar tempatan dan antarabangsa yang mempunyai keunikan tersendiri daripada segi warna, bentuk dan bau berbanding orkid kacukan yang begitu banyak di pasaran. "Kesukaran mendapatkan orkid liar selain terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar antara cabaran yang menambahkan lagi minat saya mengumpul tumbuhan berkenaan," katanya yang berasal dari Felda Bukit Mendi, Bera, Pahang. Menurutnya, setiap kali ada masa terluang dia dan suami balik ke kampung untuk melihat perkembangan selain melakukan kerja pembiakan, membaja dan meracun.
Pokok orkid mudah daripada segi penjagaannya. Pada musim panas, tumbuhan berkenaan perlu disiram setiap hari sementara aktiviti membaja dan meracun dilakukan dua minggu sekali bergantung kepada keadaan.
Dr Nor Izah yang menganggotai Persatuan Orkid Shah Alam berkata, setiap bulan dia akan bertemu dengan peminat orkid seterusnya menyertai pertandingan anjuran Persatuan Orkid Shah Alam.
Selain Persatuan Orkid Shah Alam yang aktif menganjurkan pertandingan, beberapa persatuan lain di seluruh negara tidak ketinggalan mengadakan pelbagai program.
Katanya, setiap kali menyertai pertandingan dia hanya bersaing dalam kategori orkid liar manakala pencapaian terbaiknya tahun lalu apabila dia muncul juara saingan bulan September.
Ibu kepada tiga anak ini berkata, dia mendapatkan orkid liar dengan membeli daripada masyarakat Orang Asli dan pembekal di seluruh negara selain mencarinya di hutan.
Dengan ditemani suami, dia masuk ke hutan untuk mencari orkid liar yang tumbuh liar menumpang pada pokok. Untuk mengambil orkid itu pula, ia perlu menggunakan galah.
Menurutnya, selain memiliki orkid liar tempatan, dia juga mempunyai koleksi orkid liar dari luar negara seperti Papua New Guinea dan Singapura.
"Selain sebagai koleksi, saya menjual beberapa spesies orkid liar dengan harga antara RM15 dan RM80, bergantung kepada spesies, bunga dan kesukaran untuk mendapatkannya.
"Saya hanya menjual orkid pada individu tertentu saja, ini bagi memastikan pokok berkenaan tidak mati apabila ia tidak dijaga dengan baik," katanya yang terus berusaha menambah koleksi orkid liar.
Dr Nor Izah berkara, selain memiliki pelbagai bentuk dan warna, keunikan lain yang terdapat pada bunga orkid liar ialah bau dan saiz bunga berkenaan.
Menurutnya, dia dan suami kini dalam proses membuka ladang dan pusat jualan seluas empat hektar di Bera yang akan menempatkan orkid liar termasuk pelbagai jenis pokok bunga.
No comments:
Post a Comment